Monday, July 19, 2010

PERSEDIAAN BUAT ABAH DAN IBU

Dalam keghairahan bergelar abah dan ibu, sebenarnya perlulah juga kita mengingatkan diri sendiri akan persediaan dan persiapan keagamaan yang sgt2 penting..bukan hanya sekadar persiapan pakaian, katil dan barangan bayi semata-mata. oleh itu jgn lah diabaikan persiapan keagamaan ini agar anak yg bakal lahir nnt menjadi seorang yang taat pada agama dan menjadi anak yang bertaqwa....perbanyakkanlah membaca sumber2 ilmiah agar kita sentiasa bersedia demi anak tercinta yang bakal lahir nnt...


Apabila lahir anak ke dunia, dalam tempoh yang segera yang mungkin, anak itu perlu diazan dan diiqamatkan. Adalah sunat untuk azan di teliga kanannya, dan iqamat di telinga kirinya. Seeloknya, si bapa sendiri yang melaksanakan tugas yang ringkas, tapi penuh makna ini. Azanlah dan iqamatlah dengan penuh khusyuk, pasrah dan mengharap. Pastikan suaranya jelas, sebutannya tepat dan lebih baik lagi bersama dengan menghayatan maknanya. Sambil azan dan iqamah, bolehlah hati bapa tadi mendambakan harap agar Allah jadikan telinga, mata, lidah dan seluruh anggota anak itu dekat dengan Allah, dan jauh dari syaitan.

azan-iqamat-anak-lahir-s.jpg

Rasulullah pernah bersabda “ Siapa yang baru mendapat seorang anak, lalu diazankannya ditelinga kanan serta diiqamatkan pula ditelinga kiri, maka anak itu tidak akan diganggu oleh syaitan” (Riwayat al-Baihaqi)

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya Tuhfatul Maudud, menyebut bahawa amalan ini mempunyai hikmat yang besar. Antaranya, ia bertujuan untuk memastikan kalimah pertama yang masuk dalam deria pendengaran anak adalah kalimah-kalimah suci. Kalimah kebesaran Allah, syahadah, serta seruan kepada solat dan kejayaan digemakan ke telinga bayi agar hikmah dan pengertiannya menyerap hingga ke lubuk kalbu si anak. Lantas anak itu menjelmakannya dalam bentuk keyakinan, dan amalan sepanjang hayatnya.

Selain itu, kalimah ini juga berperanan sebagai menghalau iblis dan syaitan. Syaitan sentiasa merancang dan mencari peluang untuk menyesatkan anak Adam. Namun, azan dan iqamah amat ditakuti mereka. Maka tindakan melaungkan azan dan iqamah itu sebagai gendang perang dan amaran keras ke atas syaitan supaya dia tidak mendekati anak itu.

Amalan seterusnya ialah Tahnik. Tahnik maknanya mengunyah kurma lantas memindahkannya ke lidah anak yang baru dilahirkan. Caranya ialah seperti berikut:
• kunyah kurma, atau sesuatu yang manis seperti madu
• letakkan kurma yang telah dikunyak di hujung jari
• masukkan perlahan-lahan hujung jari itu ke dalam mulut anak yang baru dilahirkan
• gerakkan jari itu ke kanan dan ke kiri dengan lemah lembut sehingga meliputi keseluruhan mulut anak kecil dengan kurma yang dikunyah tadi.

Dalam Sahih al-Bukhari, terdapat riwayat dari Abu Musa r.a. yang mengatakan: “ Aku pernah mendapat anak lelaki, maka aku pun membawanya kepada Rasulullah s.a.w. maka dinamakannya Ibrahim, kemudian ditahnikkan dengan kurma, lalu didoakannya agar dicucuri berkat, kemudian dia pun menyerahkan kepada ku.”

Penulis Ustaz Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa antara hikmah tahnik adalah supaya otot-otot mulut menjadi kuat, dan membolehkan anak itu menghisap susu badan dengan baik. Selain itu, perbuatan tahnik ini afdhal dilakukan oleh orang-orang soleh dan bertaqwa bagi mengambil berkatnya. Agar, anak itu nanti turut menjadi soleh dan bertaqwa.

Seterusnya, Aqiqah itu bukan adat, tetapi ibadat. Ibadat yang jelas dinyatakan dalam dalil-dalil syarie. Maka, setiap ibu dan bapa perlu menghayatinya sesuai dengan kedudukannya sebagai ibadat. Darah binatang yang ditumpahkan bukan semata-mata untuk dijadikan santapan tetapi, namun yang lebih penting adalah sebagai tebusan kepada Allah SWT. Yang utama bukannya kelazatan daging kambing atau lembu yang disembelih, tetapi nilai taqarrub si bayi kepada Allah hasil aqiqah itu. Kehebatan aqiqah bukannya pada keenakan hidangan jamuan, namun terletak pada keiklasan si bapa dan ibu yang mengelolakannya.

Aqiqah, dari segi bahasa maknanya ‘putus’. Menurut Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, aqiqah adalah ‘menyembelih kambing untuk anak yang baru lahir pada hari ketujuh dari hari kelahirannya’.

Ada ulama’ seperti Hasan al Basri, Al-Laith bin Saad menganggap aqiqah itu wajib. Namun begitu, jumhur ulama termasuk Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendirian bahawa hukum aqiqah adalah sunat yang mustahab, iaitu sunat yang amat dituntut. Hukum ini berasaskan dalil-dalil yang nyata serta hikmahnya yang amat besar.

Apakah hikmah aqiqah?

Walau pun aqiqah kelihatan seperti ibadah berbentuk kemasyarakatan, namun ia terselit hikmah yang sangat bermakna meliputi soal ketuhanan, pendidikan, kekeluargaan dan keadilan. Secara ringkasnya aqiqah mempunyai hikmah seperti berikut:Mendekatkan diri si anak dengan Allah SWT iaitu dengan menumpahkan darah demi kerana cinta kepadaNya di saat-saat pertama kelahirannya.

  • Sebagai tebusan si anak dari bebanan dan bahaya sebagai mana tebusan NAbi ISmail a.s. dan tebusan Abdullah, bapa Nabi SAW.
  • Melepaskan belenggu anak untuk mensyafaatkan kedua ibu bapanya.
  • Menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kemunculan anak penyejuk mata, yang juga menambahkan bilangan umat Nabi Muhammad SAW
  • Mengukuh dan mengeratkan tali ukhuwah dan silaturrahim antara anggota keluarga dan jiran tetangga dengan adanya majlis jamuan.
  • Sebagai simbol ingatan kepada prinsip tolong menolong dalam anggota masyarakat dengan melibatkan semua anggota tetangga dan keluarga tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Apakah dalil-dalil aqiqah?

Al-Bukhari meriwayatkan dalam Sahihnya, sabda Rasulullah SAW, maksudnya: ‘Bersama anak itu, aqiqah. Maka alirkanlah darah untuknya dan hindarkanlah bahaya daripadanya.’

Ashabus Sunan meriwayatkan daripada Samurah katanya: Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: ‘Setiap anak bergantung kepada aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh, diberikan nama, dan dicukurkan kepala.’

Yahya bin Said menyebut daripada Amrah, daripada Aisyah r.a.: Sesungguhnya RAsulullah SAW telah mengaqiqahkan untuk Al-Hasan dan Al-Husain pada hari ketujuh’.

Bila aqiqah patut dilaksanakan?

Berdasarkan apa yang disuruh bahkan dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW, aqiqah amat digalakkan dibuat pada hari ketujuh kelahiran. Walau bagaimana pun, aqiqah adalah sah dilakukan pada bila-bila masa selepas kelahiran anak, sebaik-baiknya tidak terlalu dilewat-lewatkan.

Apabila ditanya, Aisyah r.a berkata: Aqiqah itu dilakukan pada hari ketujuh, dan keempat belas, dan dua puluh satu’

Imam Malik berkata: ‘Adalah jelas bahawa ketetapan aqiqah pada hari ketujuh hanyalah galakan sahaja. Jika tidak boleh lakukan pada hari itu, dan dilakukan pada hari keempat, kelapan, atau kesepuluh atau sesudahnya pun sah juga aqiqah itu.’

Tegasnya, dalam soal masa ini Allah memberikan kelonggaran kepada umat Islam dengan membolehkan aqqiqah dilaksanakan bila-bila masa kelepas kelahiran. Kaedah ini bertepatan dengan hikmah syariat Islam yang sentiasa memudahkan penganutnya, bukan menyusahkan.

Adakah aqiqah lelaki sama dengan perempuan?

Tiada pertikaian bahawa, aqiqah itu adalah sunat untuk anak lelaki dan perempuan. Walau bagaimana pun timbul persoalan dari segi jumlah kambing yang disembelih untuk aqiqah itu anak lelaki dan perempuan.

Kebanyakan sahabat dan ulama’ cenderung mengatakan bahawa aqiqah untuk anak lelaki adalah dua ekor, berbeza dengan wanita yang hanya seekor. Pegangan ini berasaskan kepada beberapa hadith termasuklah satu sabda Rasulullah SAW yang menjawab pertanyaan Ummi Karz Al-Ka’biyah dengan katanya, bermaksud: ‘Untuk lelaki dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.’

Namun begitu, Imam Malik berpendapat bahawa aqiqah untuk anak lelaki adalah hanya seekor, seperti anak perempuan. Beliau bersandarkan kepada beberapa hadis lain seperti hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW melakukan aqiqah untuk Al-Hasan dan Al-Husin dengan seekor kibasy.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan berpendapat kedua-dua pendapat ini diguna pakai dengan mengandaikan bahawa aqiqah dengan dua ekor kambing sesuai bagi golongan yang lebih berada dan sebaliknya bagi mereka yang sederhana memadailah dengan aqiqah dengan seekor kambing bagi seorang anak lelaki.

Di sini mungkin timbul pertikaian, kenapa wujud perbezaan antara lelaki dan wanita? Kenapa aqiqah lelaki dilebihkan dengan dua ekor kambing sedangkan wanita sekadar seekor sahaja? Penulis menjelaskan bahawa, segala apa yang ditentukan oleh Allah pasti ada hikmah yang tersembunyi yang kadang-kadang tidak mampu digarap oleh minda manusia yang terbatas. Maka para mukmin perlu menerimanya dengan pasrah. Dari segi logiknya, kelebihan yang dikenakan bagi anak lelaki ini bagi menunjukkan lebihnya kuasa dan tanggungjawab mereka berbanding wanita. Hal ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah An Nisa’ (34) yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu lebih berkuasa daripada kaum wanita dengan apa yang dilebihkan Tuhan sebahagian mereka ke atas sebahagian yang lain, dan dengan apa yang dibelanjakan mereka dari harta benda mereka”


No comments:

Post a Comment